It doesn't matter if you win or lose, it's how you play the game... :)

Friday, November 27, 2009

Warkah buat ADAM


Wahai Adam,




Hawa tidak tahu bagaimana mahu memulakan coretan ini. Surat ini, khas untuk semua kaum Adam di luar sana. Duhai Adam, telah dinyatakan dalam AlQuran, bahawasanya engkau Adam, telah diberikan kuasa terhadap wanita. Kau diberikan tanggungjawab untuk mendidik Hawa, mengawasi Hawa agar Hawa tidak terjatuh ke seberang jalan.Ini ialah amanah Allah buatmu, Adam.. Amanah!




Hawa.. Hawa kelu, Adam! Hawa sendiri menangis melihat sesetengah kaum Hawa sudah jatuh ke seberang jalan. Hawa tertanya-tanya, di mana Adam?! Di mana Adam yang Allah amanahkan untuk menjaga Hawa?! Di mana Adam untuk mengawasi Hawa?! Hawa sedih Adam, Hawa sedih..




Adam, Hawa bersyukur kerana ada dikalangan kaum Hawa sedang berusaha merangkak-rangkak untuk naik semula ke atas jalan. Hawa cuba menghulurkan tangan kepada mereka. dan cuba menarik mereka. Malangnya Hawa tidak kuat, Adam! Hawa tidak kuat! Kenapa?? Kerana ada segelintir kaum Adam yang telah meruntuhkan semangat kaum Hawa untuk mencari jalan yang benar! Kenapa Adam buat Hawa begini?! Kenapa Adam, kenapa?! Mengapa tidak Adam membantu Hawa?! Mengapa Adam tidak memikul amanah Allah ini sebaik mungkin?!!





Astaqfirullah..

Maafkan Hawa, Adam. Hawa tidak bermaksud menyinggung perasaan Adam. Tetapi, Hawa cuma ingin memberitahu Adam realiti dunia sekarang. Kenapa Adam biarkan kami, kaum Hawa yang dikatakan lemah ini memikul senjata? Berkejaran sana-sini menangkap penjenayah? Adam sekadar melihat Hawa menyinsing lengan baju membuat kerja. Adam hanya memerhatikan kami kaum Hawa berkeringat mengamankan negara. Hawa tidak nafikan, ada juga kaum Adam melakukan tugas seperti yang telah disebutkan di atas, namun adilkah bagi kaum Adam yang sekadar goyang kaki menganggur tanpa kerja melihat kami Hawa bertungkus-lumus mencari nafkah buat keluarga?!




Adam, Adam selalu cakap, Hawa keras kepala! Hawa tak dengar kata! Hawa ego! Tapi Adam, yang lahirkan Adam, ialah kaum Hawa. Hinggakan di saat kaum Hawa mulai sakit mahu bersalin, Allah hadiahkan kaum Hawa pahala jihad di jalan Allah. Dan Allah kata, seorang wanita solehah itu lebih baik daripada 1000 lelaki soleh. Apa di fikiran Adam sekarang?




Adam, jika Adam sudah mempunyai seorang Hawa sebagai isteri, maka pimpinlah isterimu itu wahai Adam. Rasullullah pernah cakap, "Seandainya diperbolehkan untuk manusia bersujud kepada manusia lain, tentunya aku perintahkan seorang isteri untuk sujud kepada suaminya". Lihatlah, Adam. Kedudukan seorang suami itu amat mulia. Maka dengan itu, jalankanlah tanggungjawabmu dengan sebaik mungkin terhadap isterimu, Hawa. Jangan biarkan isterimu berpakaian tetapi bertelanjang. Menutup aurat tetapi rosak akhlak. Bermanis bicara tetapi sebenarnya berdusta. Jalankan amanah Allah, Adam..




Adam, engkau itu imam dan Hawa itu makmum. Bagus engkau, baguslah Hawa. Buruk engkau, buruklah Hawa. Adam, Adam lupa? Bukankah Allah memberikan anugerah buat Adam? Adam punya 9 akal 1 nafsu. Tetapi kami kaum Hawa, punya 9 nafsu 1 akal! Kerana itulah, apabila semakin buruknya akhlak Adam, semakin buruk dan jijiklah akhlak Hawa. Maka Adam, tidak adil lah kaum Adam mahu menyalahkan kami kaum Hawa dalam segala hal. Tatkala sang isteri memakai tudung bawal dengan baju t-shirt lengan takat siku, bersama seluar jeans ketat, mengapa sang suami tidak menegur? Kerana sang isteri tidak mahu mendengar kata? Bukankah sang suami itu punya kuasa? Bila si suami tidak menegur, maka fesyen pelik si isteri yang dinamakan berpakaian tetapi bertelanjang ini semakin berleluasa hinggakan menjadi ikutan anak-anak gadis muda.




Adam tidak percaya? Pergilah keluar. Lihatlah sendiri. Hatta makcik-makcik sekalipun berpakaian begitu. Siapa lagi yang boleh mencegah semua ini Adam?! Siapa?! Hinggakan kami sesetengah kaum Hawa sendiri pun sudah penat menasihati kaum sendiri.




Adam, sebagai manusia, Hawa sangat menyayangi Adam. Tak mengapalah, Adam. Andai surat ini masih belum mampu menyedarkan Adam, Adam tunggulah. Tunggulah sehingga Adam melihat anak-anak gadis Adam sendiri rosak dan hanyut dalam maksiat. Wallahu'alam.

No comments: