It doesn't matter if you win or lose, it's how you play the game... :)

Tuesday, October 6, 2009

PANDANGILAH SEKITARMU ..


.........PERCIKAN TAZKIRAH



..........TITISAN ILMU



BismiLlahirrahmanirrahim


Susah rupanya nak manage err, 2...3..4.. blog serentak.

AlhamduliLlah, sehingga ke saat ini, Allah masih mengizinkan diri ini untuk berteleku, bertebaran, dan menapak di bumi Allah ini dengan sejahteranya.

Menziarahi sahabat baru-baru ini yang diuji Allah dengan nikmat pinjaman kesihatan membuka mata dan mengetuk pintu hati saya sebagai seorang insan yang lemah.

Membelek semula buku dan website-website ilmu (nah, ini kan sudah menunjukkan keterbatasan manusia terhadap ilmu! harus bergantung kepada yang lain untuk mencari dan menuntut ilmu), cuba menghadam dan memikirkan satu perkara yang memang diasuh dan diterapkan ke dalam hati sejak kecil lagi, sungguh Allah itu Maha Esa.

Merenung kembali penciptaan manusia yang sangat khusus kejadiannya. Ribosomes yang berfungsi sebagai tapak sintesis bagi protein dengan komposisi RNA dan enzymes tertentu, nucleus yang menyimpan maklumat DNA dan mengawal pergerakan keluar masuk di dalam sel dengan struktur terperincinya yang terdiri daripada nucleolus, chromatin dan envelope, ditambah lagi dengan kehadiran membrane cell yang berfungsi seperti dinding kepada sel, dan akhirnya dengan kehadiran semua struktur yang lain, barulah terbentuk satu unit sel yang bertebaran di dalam badan manusia.

Itu masih belum cukup. Himpunan sel-sel ini membentuk tisu yang pelbagai; epithelium tissue, connective tissue, adipose tissue dengan fungsi masing-masing akhirnya bersatu dan bekerjasama untuk membentuk organ-organ yang bekerja untuk manusia. Lalu terciptalah mata untuk kita memandang, kelopak mata untuk berkelip, perut untuk keperluan makanan, hidung untuk kita bernafas dan menghirup oksigen di udara, kaki untuk kita melangkah, dan mulut untuk berbicara, jemari untuk mengambil makanan, lidah untuk merasa. Apa agaknya yang terjadi jika Allah tidak meletakkan kuku jemari pada tempatnya? Atau mungkin telinga kita tidak bercuping? Atau mungkin tangan tak bersiku? Atau mungkin badan tanpa leher?. SubhanaLlah. Setiap satunya merupakan nikmat pinjaman Allah yang boleh ditarik pada bila-bila masa.

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)? [55:13]

1. Sedarkah kita betapa lemahnya ciptaan Allah bernama manusia ini? Manusia hidupnya memerlukan pergantungan kepada yang lain. Manusia bergantung kepada sistem-sistem di dalam badan. Sistem-sistem hanya akan terbina dengan kehadiran organ-organ tertentu. Lalu organ-organ ini tidak akan bekerja sekiranya tisu-tisu tidak wujud. Dan mana mungkin wujudnya tisu-tisu tanpa kesatuan jutaan sel di dalam badan. SubhanaLlah! Terperinci sungguh ciptaan Allah. Setiap satunya memainkan peranan dalam kesinambungan fungsi dan gerakerja di dalam tubuh manusia. Lalu, terciptalah, dan berdirilah dengan penuh sempurna seorang manusia yang sihat jasadnya di atas muka bumi Allah ini.

Wahai manusia! Apakah yang memperdayakanmu (berlaku derhaka) kepada Tuhanmu Yang Maha Pemurah? Tuhan yang telah mencipta dan mengatur kejadianmu, lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya anggota itu diadakan), serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya. Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendakiNya, Dia menyusun kejadianmu. [82:6-8]

2. Pergantungan manusia bukan terhenti setakat itu sahaja. Setelah lahirnya makhluk Allah bernama manusia, ia harus bernafas dengan oksigen yang Allah anugerahkan di dalam udara. Kemudian, manusia ini memerlukan tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan dan ubat-ubatan. Tumbuh-tumbuhan ini memerlukan air sebagai asas kehidupannya. Lalu turunlah hujan. Dari mana datangnya hujan? Air laut tersejat dengan bantuan matahari lalu membentuk awan, dan awan ini dengan bantuan angin dan udara membolehkan titisan air menyembah ke bumi lalu menyerap ke dalam liang-liang tanah dan menyuburkan bumi Allah. Laut memerlukan bumi sebagai hamparan. Matahari pula tidak akan berdiri teguh di paksinya tanpa graviti. Dan matahari dan bumi keduanya tidak akan wujud tanpa galaksi bimasakti. Dan galaksi ini tidak akan wujud tanpa…? Di manakah pengakhirannya? Maka apakah kita sebagai makhluk yang lemah dan sering bergantung kepada yang lain seharusnya beriman kepada laut kerana membenarkan hujan mengairi bumi? Atau kepada matahari kerana membenarkan laut tersejat? Atau kepada galaksi kerana tanpa galaksi tiadalah matahari dan bumi? Atau kepada alam semesta yang tanpanya tiadalah galaksi, matahari, bumi, laut, awan, tumbuh-tumbuhan, dan tiadalah kita! SubhanaLlah wal HamduliLlah wa La ilaha illaLlah, ALlahu Akbar! Hebatnya Allah yang menciptakan semuanya yang pandangan mata kita sudah cukup mengatakannya hebat. Lalu pujian terhebat itu seharus

Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa). [2:22]

3. Dan setiap satu daripada peringkat; misalan peringkat sel, peringkat tisu, peringkat organ, dan setiap sistem mematuhi hanya satu arahan. Oksigen akan diserap masuk ke dalam liang-liang alveolus, dan gas carbon dioxide akan dihembus keluar. Darah akan dipam dari jantung ke seluruh badan, bukannya dari jantung ke mata sahaja, atau ke usus sahaja. Hujan akan turun ke bawah, bukannya ke arah atas untuk menyirami bumi. Matahari akan bersinar pada waktu siang bukannya pada waktu malam mengikut kawasan. Tapak kaki dijadikan dilunjur ke hadapan bukannya ke belakang. Kemudian, kesemuanya membentuk satu kesinambungan yang cantik dan sempurna apabila setiap satunya melengkapi yang lain. Sekiranya ada selain daripada satu pemerintah, pentadbir, pastilah akan berkecamuk semuanya. Kehebatan Allah, Allah adalah pentadbir yang mentadbir sel, tisu, organ, sistem, mikroorganisma, manusia, pokok, haiwan, tanah, angin, udara, hujan, awan, langit, bintang, bulan, matahari, bumi, galaksi dan seluruh alam semesta! Allah tidak memerlukan penjaga bagi setiap struktur. Allah tidak memerlukan pemerhati mahupun pengawal bagi awan, atau bagi rembulan. Allah yang mengatur ikan paus hidupnya di lautan masin, bukannya air kolam. Allah tidak memerlukan pembantu yang mengawal lembu daripada melahirkan anak, bukannya bertelur. SubhanaLlah. Allah itulah yang Maha Satu yang mengawal semuanya dan mentadbir semuanya tanpa bantuan dari tangan-tangan lain. Sedangkan kita, manusia memerlukan pak guard untuk menjaga bangunan pejabat, memerlukan akauntan untuk menjaga kewangan syarikat, memerlukan pemandu untuk memandu kenderaan, memerlukan guru untuk mengajar dan mendidik. Sedangkan Allah tidak memerlukan sesuatu apa pun. Allah juga tidak rugi jika kita tidak wujud di muka bumi Allah ini. Jika dibandingkan dengan ciptaan Allah yang lain, manusia ini terlalu kecil dan terlalu banyak membawa kemusnahan dan kehancuran, terlalu banyak melakukan kemaksiatan dan kezaliman. Dan Allah berhak dan berkuasa untuk menyahkan kita dari muka bumi ini dengan satu hembusan seumpama kita meniup semut yang lalu di atas lantai. Na’udzubiLlahi min dzaalik.

(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.Dialah yang telah mengajarkan Al-Quran. Dialah yang telah menciptakan manusia. Dialah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima kenyataan. Matahari dan bulan beredar dengan peraturan dan hitungan yang tertentu. Dan tumbuh-tumbuhan yang melata serta pohon-pohon kayu-kayan, masing-masing tunduk menurut peraturanNya. Dan langit dijadikannya (bumbung) tinggi, serta Dia mengadakan undang-undang dan peraturan neraca keadilan. Supaya kamu tidak melampaui batas dalam menjalankan keadilan. [55:1-7]


4. Betapa ilmu Allah itu sangat luas. Tidak mampu dihadam kesemuanya oleh manusia. Kita pada hari ini memerlukan kepada pakar mata, pakar telinga, pakar otak, pakar jantung sehingga kepada pakar kanak-kanak dan psikologi! Hanya sesudu ilmu Allah sahaja malahan kurang yang ditelusuri oleh manusia dan terus-terus kita memanggil mereka ini sebagai pakar! Kita anugerahkan saintis-saintis yang berjaya menemukan penemuan-penemuan baru dengan pingat kebesaran, sanjungan dan pujian. Lalu, siapakah yang lebih hebat? Pastilah tuan kepada segala ilmu yang ada di langit dan di bumi ini. Ilmunya yang tak pernah habis, dan sentiasa dituntut oleh segenap manusia. Itu pun masih belum dapat meliputi semua ilmu yang ada dalam perbendaharaan Allah. SubhanaLlah! Lalu kenapa tidak kita hadiahkan Allah tasbih dan tahmid kita sebagai tanda kesyukuran, diikuti dengan piala ‘ibadah tanda kehambaan kita dan kebesaran Allah? Jika kita memanggil mereka pakar, maka Allah adalah yang terpakar berbanding mereka. Kerana kepakaran mereka hanya terbatas kepada bidang mereka, dan sesungguhnya ilmu yang mereka kaji itu adalah ilmu Allah, dan ilmu Allh meliputi semua bidang yang ada di alam semesta! SubhanaLlah!

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu dari perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja. [17:85]


5. Kita telusuri kembali, untuk membentuk manusia, semua sel harus bekerjasama membentuk tisu. Tisu bekerjasama membentuk organ, organ bekerjasama membentuk sistem, sistem-sistem bersatu padu membentuk manusia. Manusia tidak boleh hidup tanpa oksigen. Oksigen datangnya dari tumbuhan. Tumbuhan memerlukan air. Air datangnya dari hujan. Hujan terjadi melalui sejatan air laut dengan kehadiran matahari. Matahari memerlukan kepada graviti dan galaksi. Dan begitulah seterusnya. Atau misalan lain, apabila seseorang itu dimasukkan ke dalam bilik pembedahan dalam penjagaan doktor. Pakar bius akan membius pesakit, pakar bedah akan membedah pesakit, pakar jantung akan memantau keadaan jantung pesakit, dan begitulah seterusnya. Semuanya memerlukan kerjasama. Untuk manusia bernafas, kita memerlukan kerjasama struktur badan dan alam sekitar. Semuanya memainkan peranan penting untuk memastikan satu hasrat dan kejayaan tercapai iaitu oksigen dapat dihidu oleh manusia misalannya. Dan begitu jugalah umat Islam. Untuk mencapai kegemilangan umat Islam, semuanya harus bekerjasama.Yang kaya membantu yang miskin, yang kuat membantu yang lemah dan seterusnya.

Dari Abu Musa Al Asy’ariy ra dari Nabi Muhammad saw bersabda: “Orang mukmin itu bagi mukmin lainnya seperti bangunan, sebagiannya menguatkan sebagian yang lain. Kemudian Nabi Muhammad menggabungkan jari-jari tangannya. Ketika itu Nabi Muhammad duduk, tiba-tiba datang seorang lelaki yang meminta bantuan. Nabi hadapkan wajahnya kepada kami dan bersabda: Tolonglah! maka kamu mendapatkan pahala, dan Allah putuskan lewat lesan Nabi-Nya apa yang dikehendaki.”
(Imam Bukhari, Muslim, dan An Nasa’i).

Renungkan kembali. Umat Islam dikatakan seperti satu jasad. Jika satu anggota terasa sakit, maka seluruh badan akan menanggung kesakitan. Lalu kita muhasabah diri, dalam keadaan masyarakat yang tenat sekarang ini, adakah kita merasakan seperti kita ini satu tubuh? Adakah pula kita merasakan sakit apabila melihat umat Islam berkeadaan tenat? Atau kita merasakan bahawa ianya di luar kewajipan kita? Jika satu anggota badan tercucuk jarum, tangan akan mula menggaru, mata akan merembeskan air mata tanda kesakitan. Lalu yang manakah kita? Adakah kita sebahagian daripada tubuh ini ataupun tidak? Jika tidak, bagaimana mungkin umat Islam akan mencapai kegemilangan kerana kita tidak menjadi sebahagian daripada tubuh ini? Dan di manakah kita di kala kita seharusnya menjadikan tubuh Islam ini kuat dan seterusnya berjihad mencapai ustaziyatul ‘alam yang diimpikan? Seharusnya kerjasama bukan sekadar suatu istilah yang menggambarkan kesepaduan fizikal, malahan fikrah dan iman supaya masing-masing dari setiap peringkat dapat bersepadu meraih mardhatillah, satu puncak impian yang mahal dan lumayan.

WaLlahu A’alam

No comments: