It doesn't matter if you win or lose, it's how you play the game... :)

Tuesday, January 15, 2008

Saya Mestilah Bersifat Seorang Muslim Terhadap Keluarga Saya

Sebenarnya apabila saya telah menganut agama Islam, saya wajib menjadi seorang pendukung risalah ini di dalam kehidupan bahkan saya wajib menjadikan seluruh kehidupan saya mematuhi segala arahan risalah ini.

Maka apabila anutan saya terhadap Islam mewajibkan saya menjadi Muslim di dalam sudut kejiwaan, akidah, ibadah dan akhlak maka kewajipan yang sama juga menuntut saya berusaha menjadikan masyarakat yang saya hidup di dalamnya sebagai masyakat muslim.

Adalah tidak memadai dengan saya menjadi muslim seorang diri sahaja sedangkan orang-orang di sekeliling saya tidak dihiraukan, kerana di antara kesan-kesan dari seruan Islam dan kemesraannya di dalam jiwa manusia (jika ia telah benar-benar beriman) ialah ia merasai tanggungjawabnya terhadap orang lain dengan mengajak dan menasihati mereka dengan Islam serta ghairah mengambil berat ke atas mereka sebagai realisasi dari amaran Rasulullah:

من بات ولم يهتم بأمر المسلمين فليس منهم

Yang bermaksud:

"Barang siapa yang tidur nyenyak dan tidak mengambil peduli urusan umat Islam maka ia bukan dari golongan mereka".

Bertitik tolak dari sinilah menyusulnya satu tanggungjawab ke atas saya, iaitu tanggungjawab menegakkan masyarakat Islam dan tanggungjawab menyampaikan Islam kepada masyarakat.

Langkah pertama dari tanggungjawab ini dan merupakan langkah yang bersifat tabii dalam usaha ini, saya mestilah jadikan rumah-tangga saya sebuah rumah-tangga muslim. Saya mestilah menyampaikan risalah Islam kepada "masyarakat kecil saya" yang terdiri dari ahli-ahli keluarga saya, isteri-isteri saya, anak-anak saya, seterusnya kepada kaum kerabat saya yang dekat dan inilah cara yang dilakukan oleh Rasulullah di permulaan dakwahnya. Firman Allah:


فَلَا تَدْعُ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا ءَاخَرَ فَتَكُونَ مِنَ الْمُعَذَّبِينَ(213)وَأَنْذِرْ عَشِيرَتَكَ الْأَقْرَبِينَ(214)وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:

Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, akibatnya engkau akan menjadi dari golongan yang dikenakan azab seksa. 214- Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. 215- Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman. (Surah Al-Syu'ara' 26: Ayat 213-215).

Dari penjelasan di atas nyatalah bahawa tanggungjawab seorang muslim selepas tanggungjawab ke atas dirinya sendiri ialah tanggungjawab terhadap ahli keluarganya, rumah-tangganya dan anak-pinaknya. Berdasarkan dalil firman Allah:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. (Surah Al-Tahrim 66: Ayat 6)


4.1- Tanggungjawab Sebelum Berumah-tangga.

Untuk membantu saya menjayakan usaha membina sebuah rumah-tangga yang baik, Islam telah menunjukkan beberapa anasir dan sebab-sebab yang memudahkan tanggungjawab dan pencapaian matlamat pembinaan rumah-tangga saya. Di antaranya ialah:

1-Saya mestlah memastikan perkahwinan saya adalah kerana Allah atau dengan kata lain membina rumah-tangga muslim, untuk melahirkan keturunan yang salih, menjadi keluarga yang mampu menunaikan amanah serta memastikan pelaksanaan hidayah Allah itu secara berterusan sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

ذُرِّيَّةً بَعْضُهَا مِنْ بَعْضٍ

"Satu keturunan yang sebahagiannya (turunan) dari yang lain" (Surah Ali-Imran 3: Ayat 34)


2-Saya mestilah menjadikan tujuan perkahwinan saya adalah untuk menjaga pandangan saya, memelihara kemaluan saya serta bertakwa kepada Allah sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

ثلاثة حق على الله عونهم المجاهد في سبيل الله والمكاتب الذي يريد الأداء والناكح الذي يريد العفاف

"Ada tiga golongan yang Allah berhak menolong mereka. Pertama: Orang yang berjihad pada jalan Allah. Kedua: hamba mukatab (yang berjanji untuk menebus diri) yang menunaikan bayaran dan ketiga orang yang berkahwin kerana ingin memelihara dirinya". (Hadis riwayat Al-Tirmizi).

Dan sabdanya lagi yang bermaksud:

من تزوج فقد استكمل نصف دينه فليتق الله في النصف الباقي

"Sesiapa yang berkahwin sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh dari agamanya maka bertakwalah ia pada separuh yang lain".

(Hadis riwayat oleh Al-Tabrani Fil-Ausath)


3-Saya mestilah memilih bakal isteri yang baik kerana dengannyalah saya berkongsi hidup dan menjadi teman dalam perjuangan, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

تخيروا لنطفكم فإن العرق نزاع وفي رواية دساس وفي رواية فأنكحوا الأكفاء أنكحوا إليهم

"Pilihlah untuk keturunanmu (wanita yang baik) kerana sesungguhnya keturunan itu menjadi pertikaian. Dalam satu riwayat yang lain dikatakan: Keturunan itu menjadi desas-desus". Dalam satu lagi riwayat yang lain disebut: "Hendaklah engkau berkahwin dengan orang sekupu dan kahwinkanlah (anak-anakmu) dengan yang sekupu.


4-Saya mestilah memilih wanita yang baik akhlak dan pegangan agamanya sekalipun ia mungkin tidak punya harta kekayaan dan kecantikan kerana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

لا تزوجوا النساء لحسنهن فعسى حسنهن أن يرديهن ولا تزوجوهن لأموالهن فعسى أموالهن أن تطغيهن ولكن تزوجوهن على الدين ولأمة خرماء خرقاء ذات الدين أفضل

"Janganlah kamu mengahwini wanita kerana kecantikannya kerana bole jadi kecantikan itu akan membinasakannya, janganlah kamu mengahwini mereka kerana kekayaannya, kerana mungkin kekayaan itu merosakkannya tetapi kahwinilah mereka atas dasar pegangan agamanya. Hamba perempuan yang rabik dan hodoh tetapi baik agamanya adalah lebih utama". (Hadis riwayat Ibnu Majah)


5-Saya mestilah berhati-hati supaya tidak menyalahi perintah Allah dalam urusan ini, kerana takut kemurkaan dan seksaan Allah. Kerana mengingati amaran Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

من تزوج امرأة لعزها لم يزده الله إلا ذلا ومن تزوجها لما لها لم يزده الله إلا فقرا ومن تزوجها لحسبها لم يزده الله إلا دناءة ومن تزوج امرأة لم يرد بها إلا أن يغض بصره ويحصن فرجه أو يصل رحمه بارك الله له فيها وبارك لها فيه

"Sesiapa yang mengahwini wanita kerana memandang kepada kemuliaan (kedudukannya) sahaja, Allah tidak akan menambah apa-apa kepadanya melainkan dengan kehinaan, sesiapa yang berkahwin kerana hartanya, Allah tidak akan menambahnya kecuali kefakiran, sesiapa yang berkahwin kerana keturunannya Allah tidak akan menambahnya kecuali kerendahan tetapi sesiapa yang mengahwini wanita kerana menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya (dari perkara haram) atau kerana menghubungkan silaturahim, Allah akan memberkatinya dan isterinya".

No comments: